1.0 Pendahuluan
Pada kurun ke-19 sosio-ekonomi masyarakat Malaysia amat dipengaruhi oleh konsep ‘feudalisme’. Namun begitu, untuk memahami konsep ‘feudalisme’ dalam konteks ekonomi masyarakat Malaysia pada kurun ke-19, haruslah dianalisis dalam konteks ekonomi politik yang lebih luas dan juga dalam ruang budaya Melayu yang dibentuk oleh kepercayaan; pengaruh animisme, hinduisme, agama Islam, alam sekitar, bahasa dan adat resam. Ini kerana, kegiatan ekonomi ini sangat berhubung kait dengan lapisan masyarakat Malaysia.
Menurut Ishak Saat, ‘fedualisme’ bermaksud corak perhubungan pemerintah dengan yang diperintah yakni lebih berbentuk kesatuan dalam keadaan iaitu setiap golongan saling memerlukan. Konsep ‘fedualisme’ ini dapat di lihat melalui hujah ini “Dan lagi tiada akan sentosa kerajannya, kerana raja-raja itu umpama api, akan segala menteri itu umpama kayu; jikalau tiada kayu, dimanakah api itu bernyala?...yakni rakyat ini umpama akar, yang raja itu umpama pohon; jikalau tiada akar mescaya pohon tiada akan dapat berdiri”. Oleh itu, sosio-ekonomi pada kurun ke-19 memperlihatkan pengaruh ‘fedualisme’, iaitu sistem ekonomi yang berkait rapat dengan perbezaan darjat manusia yang melahirkan dua kelas manusia, iaitu kelas Raja dan Bangsawan dengan golongan rakyat biasa. Walaupun ini mewujudkan kelas manusia dalam ekonomi namun masyarakat Malaysia pada kurun ke-19 saling memerlukan dalam konteks penghaslian ekonomi.
2.0 Sosio-ekonomi masyarakat Malaysia
2.1 Golongan Pemerintah
Golongan pemerintah terdiri daripada kerabat diraja dan para pembesar. Sumber ekonomi golongan ini berpunca daripada tiga sumber utama. Pendapatan golongan ini datang daripada pelbagai bentuk cukai, kawalan tenaga buruh dan menerusi perdagangan. Raja dan pembesar Melayu pada zaman sebelum permulaan kurun ke-20 juga lebih mementingkan perdagangan dan monopoli pencukaian terhadap barangan yang menggunakan sistem sungai. Oleh kerana, sungai boleh mendatangkan keuntungan kepada para pemerintah maka kawasan sungai pada kebiasannya dijadikan pusat pemerintahan. Keadaan ini dapat dilihat di negeri-negeri Malaysia timur iaitu Sabah dan Serawak, kerana Sungai merupakan alat perhubungan bagi kaum Dayak Iban, Murut, Melanau dan sungai ini menjadi lambang kekuasaan aristokrat dan pembesar tempatan. Melalui sungai ini para golongan pemerintah mendapat sumber ekonomi berdasarkan cukai yang dikenakan.
2.2 Golongan diperintah
Golongan yang diperintah merupakan golongan jumlah penduduk yang terbesar sekali dalam masyarakat Malaysia. Ekonomi masyarakat Malaysia amnya adalah berasaskan pertanian selain itu, mencari barang-barang hutan seperti buluh, damar, rotan dan kayu api dan menangkap ikan di sungai, tasik, laut dan paya. Kegiatan pertanian ini dapat dilihat dalam penanaman padi, iaitu padi sawah, penanaman ini adalah amat digalakan oleh golongan pemerintah bagi menampung keperluan negeri, contohnya bagi penduduk Sabah, penanaman padi merupakan kegiatan utama bagi penduduk Sabah. Walaubagaimanapun ekonomi golongan yang diperintah masyarakat Malaysia pada kurun ke-19 adalah dipegang dan dikawal oleh golongan pemerintah. Rakyat dikehandaki menyerahkan sepersepuluh dariapda hasil mereka kepada pembesar, sebagai memenuhi tanggungjawab tradisi.
3.0 Konsep kebergantungan diantara golongan pemerintah dengan yang diperintah
3.1 Sultan dan pembesar
Politik dan pentadbiran tradisional tidak dipikul oleh sultan seorang sahaja, tetapi dibantu oleh para pembesar tempatan. Sultan sangat bergantung dengan Pembesar-pembesar tempatan dalam soal ekonomi negeri. Kerana kelas pemerintah merupakan satu badan yang sangat berkait rapat dengan sultan. Barang-barang dagangan yang keluar dan masuk dalam ekonomi Melayu lazimnya dikawal oleh kelas diraja dan aristokrat, terutama melalui cukai yang wujud pada ketika itu. Faktor inilah yang mewujudkan konsep kebergantungan diantara sultan dan pembesar kerana pembesar diberi hak mengutip cukai dan sebahagianya akan diserahkan kepada sultan.
3.2 Sultan dengan rakyat.
Dipercayai bahawa sultan boleh mempengaruhi kesihatan dan kebajikan rakyatnya serta tanaman yang menjadi sumber makanan mereka. Keadaan ini mewujudkan kesetiaan rakyat terhadap sultan dalam konteks ekonomi dan rakyat ini menjadi tulang belakang bagi menghasilkan sumber ekonomi negeri. Kuasa ekonomi golongan pemerintah terletak kepada sistem cukai, kerana hak menuntut cukai khidmat daripada rakyatnya telah peroleh oleh golongan pemerintah. Oleh itu, keadaan ini telah mewujudkan konsep kebergantungan antara sultan dan rakyat.
3.3 Pembesar dengan rakyat
Golongan aristokrat tempatan ini terdiri daripada pembesar-pembesar negeri yang diketuai oleh sultan. Sultan akan memberi kuasa kepada para autoriti-autoriti tempatan untuk menjana ekonomi, contohnya mengarahkan penanaman padi bagi mana-mana kawasan yang sesuai. Pembesar mempunyai hak dalam mengarahkan rakyat didalam melakukan sesuatu bagi menghasilkan sumber ekonomi kerana sultan telah memandatkan pembesar dalam soal membangunkan ekonomi negeri. Kedudukan rendah rakyat ini tidak menjadi soal kepada mana-mana pihak pun dan tidak juga dipersoalkan akan hak anggota-anggota kelas yang memerintah menerimaa apabila diminatanya akan persembahan barang-barang serata pengabadian diri sebagai balasan kepada perlindungan yang diberikan kepada rakyat. Keadaan inilah yang mewujudkan konsep kebergantungan pembesar dengan rakyat.
4.0 Pengaruh konsep “feudalisme” dalam sosio-ekonomi masyarakat Malaysia pada abad ke-19.
4.1 Sistem Serah
Sistem serah merupakan sebahagian adat ekonomi tradisional masyarakat Malaysia. Ini kerana selain daripada mengenakan cukai golongan aristokrat ini juga mempraktikkan satu sistem adat tradisional yang dikenali sebagai Serah dagang. Dalam urus niaga untuk memperoleh bekalan keperluan, harga barang tersebut dimanipulasikan oleh raja yang sendirinya menjadi sudagar utama. Rakyat tidak dapat memperoleh bekalan keperluan secara terus daripada sudagar utama melainkan hanya melalui para golongan pemerintah, ini menyebabkan rakyat perlu menyerahkan terlebih sebahagian daripada hasil mereka kepada golongan pemerintah. Rakyat perlu melakukan menyerahkan sepersepuluh daripada hasil mereka kepada pembesar kerana ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab tradisi. Rakyat tidak dibenarkan menyimpan harta yang lebih dan apa yang menyedihkan kaum tani tidak dapat menikmati hasil dari titik peluh mereka. Jika adapun rakyat yang hendak menyimpan maka penambahan harta daripada kalangan golongan rakyat, boleh menyebabkan raja akan melakukan tindakan merampas harta. Keadaan sistem Serah ini ini dapat digambarkan seperti yang terdapat di dalam Hikayat Abdullah; “apabila raja-raja itu menghendaki baik anak-anak perampuan atau barang suatu harta benda rakyatnya, diambilnya sahaja dengan tidak menjadi sesuatu atau takut kepada Allah. Dan tiada lagi kepadanya timbangan dan kenangan atas rakyatnya”. Sistem Serah ini inilah yang menunjukkan bahawa sosio-ekonomi masyarakat Malaysia pada kurun ke-19 amat dipengaruhi oleh konsep ‘feudalisme’.
4.2 Sistem kerah
Sistem kerah merupakan sesuatu sistem yang mewajibkan penduduk semua kampung dalam sesuatu daerah itu menyumbangkan tenaga buruh untuk berkerja diladang-ladang, untuk mengutip hasil-hasil hutan dan kerja-kerja umum atau persendirian yang lain. Sistem serah kerah ini harus diterima dan tidak boleh dipersoalkan oleh rakyat, kerana sistem kerah ini merupakan satu bentuk arahan dariapda Sultan dan pembesar yang akan memastikan arahan tersebut dilakukan oleh para pembesar. Hak pembesar untuk memungut hasil ekonomi ini diperoleh daripada surat tauliah dariapda pemerintah. Pada kurun ke-19 ekonomi masyarakat Malaysia terutama sekali kawasan biji timah di perak, Selangor dan Sungai Ujung adalah bijih timah. Pelombong-pelombong bijih timah pada ketika itu adalah daripada golongan rakyat yang berkerja dari pukul 5 pagi hingga 10 pagi dan dari 3 pagi sehingga 6 petang. Peruntukan masa ini dibuat bagi membolehkan mereka mengusahakan tanah pertanian, perkerjaan inilah yang menjadi tugas kewajipan terhadap pembesar mereka. Keadaan ini telah memperlihatkan sosio-ekonomi masyarakat Malaysia pada kurun ke-19 amat dipegaruhi oleh konsep ‘feudalisme’. Kerana raja dan pembesar Melayu cuba menyelesaikan masalah memperoleh pendapatan melalui sistem kerah.
4.3 Penguasa bagi sesuatu kawasan ekonomi
Raja dan pembesar Melayu pada zaman sebelum permulaan kurun ke -20 lebih mementingkan perdagangan dan monopoli pencukaian terhadap barangan yang menggunakan sistem sungai. Barang-barang dagangan yang keluar dalam ekonomi Melayu lazimnya dikawal oleh kelas diraja dan aristokrat, terutama melalui cukai yang wujud pada ketika itu. Hasil hutan yang dibawa keluar oleh golongan yang diperintah akan dikenakan cukai oleh golongan pemerintah. Kelas sosial pengeluar yang sebahagiannya terdiri daripada petani-petani Melayu merupakan mangsa utama dalam proses ini. Keadaan ini berlaku kerana para penguasa tempatan mempunyai hak keatas hasil ekonomi mereka. Walaupun pada hakikatnya golongan yang diperintah ini telah berhempas pulas dalam mencari sumber pendapatan namun golongan pemerintah dengan sewenangnya-wenangnya mengambil kesempatan terhadap titik peluh golongan yang diperintah. Keadaan ini seolah-oleh menunjukkan golongan yang diperintah mencari sumber pendapatan untuk orang lain. Keadaan dalam masyarakat Malaysia pada kurun ke-19 memperlihatkan bahawa Penguasa bagi sesuatu kawasan ekonomi membawa kepada konsep sosio-ekonomi yang dipengaruhi oleh konsep ‘feudalisme’.
4.4 Mengeluarkan hasil pertanian untuk golongan pemerintah
Kelas sosial ini bergantung dan hidup di tengah-tengah masyarakat agraria. Hasil tanaman yang dikeluarkan oleh kaum tani akan di beli dengan harga yang murah dan kemudiannya menjualkannya hasil-hasil ini kepada pasaran dunia. Apa yang menyedihkan kaum tani tidak dapat menikmati hasil dari titik peluh mereka. Orang tengah menawarkan harga rendah kepada kaum tani. Golongan yang diperintah dalam masyarakat Malaysia kurun ke-19 ini tidak mampu mengelak daripada keadaan penindasaan ini. Sebahagian daripada mereka yang memiliki tanah telah menggadai atau menjual tanah tersebut. Tanah sebagai asas kehidupan kaum tani telah dirampas oleh ahli-ahli dari kelas sosial yang lain. Keadaan ini telah memaksa para golongan yang diperintah melakukan kerja-kerja mengeluarkan hasil pertanian untuk golongan pemerintah kerana mereka tidak lagi mempunyai tanah untuk mengeluarkan sumber pendapatan bagi menampung kehidupan mereka. Golongan ini tidak dibayar gaji yang banyak gaji yang dibayar hanya secukup makan sahaja. Keadaan masyarakat Malaysia pada kurun ke-19 iaitu mengeluarkan hasil pertanian untuk golongan pemerintah inilah faktor daripada konsep ‘feudalisme’ keatas sosio-ekonomi masyarakat Malaysia.
4.5 Membayar cukai pendapatan.
Membayar cukai pendapatan pada kurun ke-19 juga memperlihatkan sosio-ekonomi masyarakat Malaysia dipengaruhi oleh konsep ‘feudalisme’. Pelbagai bentuk cukai yang dipungut oleh sultan dan para pembesar. Antara cukai yang dipungut ialah cukai kepala, cukai keluarga, cukai lepai dan cukai serah. Cukai-cukai ini perlu dibayar bagi mengelak dariapda rakyat dapat menambahkan harta mereka. Maka cukai harus dikenakan kepada golongan yang diperintah. Misalnya, Cukai hasil padi yang dikenakan satu persepuluh hasil keluaran. Di kerian perak jumlah tetap dikenakan 30 gantang serelung. Cukai ini adalah sesuatu kewajipan yang harus dibayar oleh golongan yang diperintah kerana melalui hasil cukai inilah yang memperlihatkan kedudukan ekonomi bagi golongan pemerintah. Semangkin banyak cukai yang dipungut maka semangkin tinggilah pendapatan golongan pemerintah. Namun secara tidak langsung keadaan ini membawa kepada pengaruh ‘feudalisme’ dalam sosio-ekonomi masyarakat Malaysia kurun ke-19.
5.0 Kesan-kesan feudalisme keatas sosio-ekonomi masyarakt Malaysia kurun ke-19
Dalam masyarakat Malaysia kurun ke-19 memperlihatkan kesan ‘feudalisme’ keatas sosio-ekonomi masyarakat, kerana kekuatan ekonomi inilah yang membawa penguasaan sistem politik khususnya pihak pemerintah. Selain itu, konsep ‘feudalisme’ keatas sosio-ekonomi masyarakat dalam Malaysia menyebabkan kedudukan pemerintah sangat dipandang tinggi oleh masyarakat. Kekuatan kedudukannya diperkukuhkan lagi oleh ‘would view’ yang dipupuk kepada rakyat jelata. Kesannya kelas pemerintah mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh berikutan kuasa politik yang mereka miliki dengan ini kelas pemerintah sentiasa dipandang tinggi dan dihormati oleh kelas bawahan. Manakala kesan ‘feudalisme’ keatas sosio-ekonomi masyarakat Malaysia bawahan pula terpaksa menerima kenyataan bahawa mereka tidak boleh mempersoalkan akan hak anggota-anggota kelas yang memerintah. Ini kerana mereka telah menerima konsep perlindungan yang diberikan kepada golongan pemerintah.
6.0 Feudalisme selepas kedatangan British
Kedatangan British ke atas masyarakat tempatan telah membawa kesan kepada ekonomi dan politik dengan secara langusng ataupun tidak langsung. Kedatangan British ini telah membawa perubahan yang ketara dalam konsep ‘feudalisme’ yang mempengaruhi sosio-ekonomi masyarakat Malaysia pada kurun ke-19. Jika sebelum kedatangan British, kuasa ekonomi sepenuhnya berada di tangan golongan pemerintah, tetapi selepas kedatangan British kuasa ekonomi ini telah beralih ke tangan pihak British. Ini kerana segala kutipan cukai adalah di bawah kawalan kerajaan. Pihak British melantik pembesar-pembesar sebagai pegawai kerajaan dan pembesar-pembesar ini dibayar gaji begitu juga dengan sultan-sultan. Keadaan ini telah menyebabkan pengaruh fedualisme dalam sosio-ekonomi masyarakat Malaysia semangkin luntur. Lantaran itu juga peraturan-peraturan tentang tanah dan hasil kutipan telah digubal oleh pihak British. Keadaan ini terus membawa kepada kejatuhan konsep ‘fedualisme’ dalam sosio-ekonomi masyarakat Malaysia. Keadaan ini adalah disebabkan sosio-ekonomi mula berubah dan dipengaruhi oleh sistem Kapitalis Barat. Kesannya pihak pemerintah tempatan iaitu sultan dan para pembesar tidak lagi saling bergantungan dalam sistem serah dan kerah tetapi membenarkan sesiapa sahaja yang mempunyai kemampuan dari segi modal untuk memanuhi keperluan dan permintaan Barat.
7.0 Kesimpulan
Keadaan sosio-ekonomi masyarakat Malaysia pada kurun ke-19 adalah amat dipengaruhi oleh konsep feudalisme. Namun demikian konsep feudalisme inilah yang telah membawa kepada kestabilan politik masyarakat Malaysia pada kurun tersebut. Ini kerana melalui konsep feudalisme dalam sosio-ekonomi ini telah membawa adanya kebergantungan di antara golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah secara tidak langsung keadaan ini membawa kepada kesetiaan rakyat terhadap golongan pemerintah. Seperti yang diungkapkan dalam ayat ini; “Dan lagi tiada akan sentosa kerajannya, kerana raja-raja itu umpama api, akan segala menteri itu umpama kayu; jikalau tiada kayu, dimanakah api itu bernyala?...yakni rakyat ini umpama akar, yang raja itu umpama pohon; jikalau tiada akar mescaya pohon tiada akan dapat berdiri” walaubagaimanapun pengaruh ‘feudalisme’ ini semangkin berkurang setelah kedatangan British ini disebab pelbagai perubahan yang telah dilakukan oleh pihak British.
Bibliografi
Abdul Rahman Hj Abdullah 2006. Sejarah Dan Kebudayaan Asia Tenggara Tradisional. Shah Alam: Karisma Publications.
Ahmad Boestaman (penterjemah) 2003. Nasionalisme Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Badriyah Haji Salleh dan Tan Liok 1996. Alam Pensejarahan Dari Pelbagai Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hanizah Hji. Idris 2006. Perdagangan Pelabuhan di Borneo. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Hasan Ahmad (Editor) 2004. Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.
Ishak Bin Saat 2005. Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Shah Alam: Krisma Publications Sdn Bhd.
Ishak Bin Saat 2006. Sejarah Sosiobudaya Melayu. Shah Alam: Karisma Publications.
J.M. Gullick 1978. Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
Mohd. Isa Othman 2002. Sejarah Malaysia 1800-1963. Selangor Darul Ehsan: Utusan Publications dan Distributors Sdn Bhd.
Norazit Selat 1997. Ekonomi dan Politik Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Rahmat Saripan 1991. Masyarakat Malaysia Abad ke-19. Kuala lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shellabear 1975. Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Fajar bakti.
Wan Abdul Kadir 2001. Politik dan Ekonomi Masyarakat Bajau Kota Belud Sabah. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaysia.
Selasa, 3 November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan